Bergurau Biar Berhemah



Dalam kehidupan kita seharian, sudah pasti kita tidak akan terlepas daripada bergurau bagi menghiburkan hati.


Sememangnya bergurau merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia, tanpa bergurau, hidup akan terasa sunyi dan membosankan.


Islam sememangnya membenarkan kita untuk bergurau asalkan ia dilakukan secara berhemah dan tidak berlebihan, malahan Rasulullah SAW sendiri pernah bergurau.


Ketika zaman nabi dahulu, ada seorang perempuan tua yang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, "Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah supaya memasukkanku ke dalam syurga".


Rasulullah SAW menjawab: "Wahai Ummu fulan, sesungguhnya syurga itu tidak dimasuki oleh orang yang sudah tua". Perempuan itu pun berpaling sambil menangis. Lalu, Rasulullah SAW bersabda: "Beritahu dia, dia akan masuk syurga dalam keadaan sudah tua".


Ia kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-Waqiah ayat 56 bermaksud: Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung. Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta, lagi sebaya umurnya.


Islam telah memberikan pedoman dalam bergurau agar gurauan yang dilakukan itu tidak menjadi satu dosa.


Faktor paling utama ialah tidak berlebihan. Ia kerana gurauan yang berlebihan akan menjatuhkan kehormatan dalam pandangan manusia. 


Kehormatan harga diri di dalam Islam sama dengan kehormatan darah dan harta.


Kesedaran orang untuk tidak mencuri harta belum cukup tanpa adanya kesedaran untuk menjaga kehormatan orang.


Sabda Nabi SAW: "Setiap Muslim dengan Muslim lain diharamkan darah, harta, dan harga dirinya."


Selain itu, gurauan juga bukan bermaksud kita boleh memaki dan mencemuh orang sewenang-wenangnya.


Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 11 bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olok) itu lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan).


Islam juga tidak menggalakkan kita menjadikan gurauan sebagai satu kebiasaan. Seruan itu memandangkan serius adalah karakter peribadi seorang muslim sedangkan bersikap kelakar hanyalah bertujuan bagi merehatkan minda.


Turut diperingatkan oleh agama Islam ialah memastikan sesuatu gurauan itu bukanlah satu dusta dan tidak direka-reka.


Rasulullah SAW bersabda: "Malanglah, orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa, malanglah!".


Selain itu, kita juga tidak boleh menjadikan aspek agama sebagai bahan gurauan.


Allah SWT berfirman dalam surah at-Taubah ayat 65 hingga 66 yang bermaksud: Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentu mereka akn menjawab, Sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main saja. Katakanlah, "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?" Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan dari kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.


Oleh itu berhati-hatilah dalam bergurau agar tindakan kita untuk merehatkan minda akhirnya hanya menyebabkan kita melakukan satu dosa tanpa disedari.


Sumber: Utusan Malaysia, Rabu 2 Februari 2011

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright © LOBUY