Ketulenan Ajaran Islam



Gambaran tentang agama sejati yang benar tidak mungkin ada jika kitab wahyu diabaikan. Ini keistimewaan Islam kerana bersumberkan kitab wahyu yang unggul keasliannya. Nabi S.A.W merupakan "penjelas" pada agama itu, sesuai dengan pengutusan baginda sebagai rasul akhir zaman.


Oleh itu, kita harus memahami Islam dari sumbernya sebenar serta membuat bandingan antara agama dari al-Quran dengan agama yang berasal dari pemikiran atau dari tradisi yang salah yang dianggap sebagai sebahagian daripada agama sejati.


Konsep agama memerlukan perhatian khusus kerana ia menjadi cara bagaimana manusia mengukur kebaikan dalam hidupnya.


Islam adalah din yang murni yang merupakan pelaksanaan pada isi kandungan al-Quran.


Sementara itu, "agama" lain adalah yang tidak lain dari rangkaian tradisi turun-temurun daripada nenek moyang. Ini sama sekali jauh dari panduan wahyu.


Hari ini, ramai orang yang menganggap dirinya beragama, padahal mereka tidak tahu apa-apa tentang agama yang sebenarnya.


Golongan yang menolak al-Quran, serta meyakini apa-apa juga yang diwarisi daripada nenek moyang mereka sebagai suatu yang kudus pada hal ia tidak bernilai sama sekali di sisi Allah.


Ritual keagamaan yang dilakukan tidak dapat dikira sebagai agama yang benar, kerana ia berubah mengikut perkembangan kehidupan manusia yang menganutnya.


Ia dibesar-besarkan sekalipun tidak ada perintah Allah supaya berbuat demikian.


Hal-hal agama yang benar diabaikan sekalipun jelas ia merupakan perintah Allah.


Bagi kebanyakan orang, tujuan mengikut agama hanyalah sebagai usaha penyesuaian hidup dengan masyarakat, dan memenuhi keinginan bermasyarakat semata-mata.


"Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutlah apa yang telah Allah turunkan', mereka menjawab, '(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami'. (Apakah mereka masih mengikuti juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa pun dan tidak mendapat petunjuk?" (al-Baqarah: 170)


Kebanyakan orang mengembangkan konsep beragama bukan dengan mengambil dari sumber aslinya, tetapi dari pertuturan nenek moyang mereka, atau ada yang sekadar menyambung perbualan di kedai kopi atau ketika lepak di tepi-tepi jalan.


Mereka beranggapan bahawa agama sebenarnya hanya merupakan sebuah penzahiran tentang tradisi-tradisi yang diwariskan dari nenek moyang semata-mata.


Buktinya, sedikitpun mereka berganjak dari jejak-jejak yang diwarisi itu sekalipun nyata dan terang ia bercanggah dengan wahyu Allah.


Yang pasti, tradisi yang diwarisi itu memuatkan banyak tajuk yang mencakupi tahyul yang tidak bermakna, cerita-cerita rekaan, fatwa-fatwa palsu dari orang yang dianggap suci, dan penjelasan yang tidak masuk akal dari peristiwa-peristiwa alam.


Semuanya itu dianggap sebagai ajaran yang ada di dalam agama sejati.


Kenyataannya, ramai orang yang belajar tentang perkara ini dari keluarga dan masyarakat setempat.


Mereka menyedari bahawa tradisi-tradisi tersebut berpijak pada dasar yang lemah dan sangat sarat dengan cara berfikir yang tidak dibimbing oleh wahyu kudus.


Untuk memahami agama sejati, perkara utama yang seharusnya kita lakukan adalah dengan merujuknya kepada al-Quran sebagai sumber dasar agama, mempertimbangkanya secara pasti, dan berusaha untuk memahami nash-nash aslinya mengikut kemampuan kita.


Ini sebenarnya bukan perkara sukar. Terlalu banyak buku rujukan yang ada dan sudahpun ada berbagai sumber ilmu Islam yang sepatutnya kita manfaatkan.


Kita juga perlu sedar bahawa orang kafir pun akan merujuk kepada al-Quran ketika mereka ingin mengetahui sesuatu tentang Islam.


Ini bermakna, orang Islam sendiri seharusnya sentiasa merujuk al-Quran dan hadis Nabi S.A.W jika mereka mahu mengetahui tentang Islam anutan mereka.


Orang yang membangun agamanya dari tahyul dan rekaan cerita-cerita, dan bukan dari al-Quran, telah disebutkan dalam ayat yang bernada penolakan oleh Allah.


"Mengapa kamu (berbuat demikian): bagaimanakah kamu mengambil keputusan? Atau adakah kamu mempunyai sebuah kitab (yang diturunkan dari Allah) yang kamu baca?" (al-Qalam: 36-37)


Islam seharunya menjadi topik terpenting bagi setiap warga Muslim sesuai dengan apa yang digambarkan oleh Nabi S.A.W.


Kita seharusnya tahu tentang bagaimana membezakan agama yang sejati dengan sistem-sistem lain.


Kita juga seharusnya mewajibkan diri untuk mendalami din kita sendiri yang sebenarnya melalui sumbernya yang masih kekal untuk dirujuk dan bukan hanya berpada dengan sekadar bertaklid atau mengikut membabi buta sahaja.



Oleh Saudi Arof
Sumber: Utusan Sarawak, Khamis 27 Januari 2011

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright © LOBUY