Selepas lebih kurang 9 bulan menanggung segala kepayahan dan gangguan mental dan perasaan, tibalah saat yang dinanti-nantikan iaitu kelahiran cahayamata, kelahiran permata hati. Saat yang dinantikan dengan penuh perasaan cemas, gembira dan syukur.
Dalam Islam disyariatkan beberapa perkara yang disunatkan ketika menyambut kelahiran cahayamata:
Disunatkan azan di telinga kanan dan Iqamah di telinga kiri. Hal ini dilakukan sendiri oleh Baginda SAW sebagaimana dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Saya telah melihat sendiri Rasulullah SAW mengazankan di telinga Hussin ibn Ali ketika ia dilahirkan oleh ibunya Fatmah” – riwayat Ubaidullah ibn Abi Rafi’
Sunat juga dibacakan pada telinga kanan bayi yang baru lahir dengan doa berkut: “bahawasanya aku pohonkan perlindungan dari Engkau Ya Allah, diri anak ini dan zuriat keturunannya kelak daripada tipu daya syaitan”
Disunatkan juga memberi tahu jiran tetangga dan sahabat handai kerana itu adalah tanda syukur gembira disamping cara itu menjalinkan ikatan kemesraan dikalangan keluarga Islam.
Syariat Islam juga menuntut dilakukan “tahnik” atau membuka mulut dengan meletakkan sedikit isi buah tamar diatas jari telunjuk dan masukkan ke dalam mulut bayi serta dengan perlahan-lahan menggerakkan jari itu ke kanan dan ke kiri mulut bayi. Ini dilakukan sehingga isi buah tamar tersubut masuk ke dalam rongga tekak bayi. Jika sukar untuk mendapatkan buah tamar, boleh saja digantikan dengan apa saja yang manis seperti madu, manisan, gula dan sebagainya. Berasaskan sunnah, “tahnik” dilakukan oleh mereka yang bertakwa dan soleh sebagai mengambil sempena ketakwaan dan sifat soleh mereka
Sebaik-baiknya selepas 7 hari kelahiran, disunatkan mencukur rambut, kemudian disunatkan pula bersedekah emas atau perak seberat timbangan rambut yang dicukur kepada fakir miskin jika berkemampuan atau sekadar kemampuan dengan wang atau sebagainya. Hikmah mencukur rambut bayi yang baru dilahir adalah:
- Dari sudut kesihatan. Boleh membantu menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (sejenis cecair beku yang meliputi kulit) dan menolong memberikan kekuatan dan ketajaman penglihatan mata, bauan hidung dan pendengaran telinga
- Dari sudut masyarakat. Memberi peluang bersedekah disamping bersyukur dengan kurniaan cahayamat. Berkesempatan pula menjalinkan kemesraan dan keharmonian
Memberikan nama yang membawa maksud yang baik dan elok serta cantik, kerana dengan nama-nama itulah juga seseorang itu akan dipanggil oleh Allah SWT pada hari Qiamat
Jika berkemampuan, pada hari ke 7 juga disunatkan (sunat muakad) mengadakan Aqiqah untuk bayi tersebut. Sunat pula bagi anak lelaki 2 ekor kambing sementara seekor bagi anak perempuan (mengikut kemampuan).
0 ulasan:
Catat Ulasan